Orang Islam itu tidak ajaib. Tetapi, orang beriman diiktiraf sebagai
menakjubkan. Kenapakah orang beriman mencapai tahap yang menakjubkan?
Hal ini kerana mereka mampu melalui segenap liku kehidupan dengan tabah dan ketenangan.
Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh ajaib keadaan orang beriman,
sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiad
ayang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja.
Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia berSYUKUR. Maka jadilah
anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar.
Maka jadilah musibah itu baik untuknya” Hadith riwayat Muslim.
Dipagi aman dan damai ini, saya teringat sebuah kisah Rasulullah tentang erti syukur.
BAGINDA Rasulullah s.a.w akan menampal sendiri pakaiannya yang koyak
tanpa perlu menyuruh isterinya, malah Baginda juga memerah sendiri susu
kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk di jual.
Setiap kali Baginda balik ke rumah dan dilihatnya tiada makanan yang
siap untuk dimakan, Baginda tersenyum sambil menyinsing lengan baju bagi
membantu isterinya di dapur. Sayidatina Aisyah pernah menceritakan
bahawa baginda selalu membantu urusan rumahtangga.
Jika mendengar azan, Baginda akan cepat-cepat berangkat ke masjid dan segera pulang selepas bersembahyang.
Pernah pada suatu pagi Baginda pulang ke rumah dengar lapar sekali.
Tetapi dilihatnya tiada makanan untuk dibuat sarapan. Makanan yang
mentah pun belum ada kerana Sayidatina Aisyah belum lagi ke pasar.
Lalu Baginda bertanya “belum ada sarapan Ya Khumaira?”. Khumaira adalah
panggilan manja untuk Sayidatina Aisyah yang bermaksud wahai yang
kemerah-merahan. Sayidatina Aisyah menjawab dengan serba salah “belum
ada apa-apa Ya Rasulullah”.
Mendengar jawapan Sayidatina Aisyah, Baginda pun berkata “jika begitu
aku berpuasa hari ini” tanpa sedikitpun tergambar perasaan kesal di
wajah Baginda.
Sebaliknya Baginda sangat marah sekiranya melihat seorang suami
mengkasari isterinya. Pernah diceritakan pada suatu hari Baginda melihat
seorang suami memukul isterinya.
Baginda lalu bertanya “mengapa engkau memukul isterimu?”.
Soalan itu di jawab oleh si suami dengan gementar “isteriku seorang yang
keras kepala, walaupun telah di berikan nasihat tetapi dia masih
berdegil, jadi aku pukul dia”.
Sahut Baginda “Aku tidak bertanya alasanmu tetapi menanyakan kenapa
engkau sanggup memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu”.
Pernah Baginda bersabda “sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya”.
Sebenarnya sikap Baginda yang prihatin, sabar dan tawadhuk di dalam
menjadi ketua keluarga langsung tidak menjejaskan kedudukannya sebagai
pemimpin umat.
Pernah pada suatu ketika, Baginda mengimamkan solat, dilihat oleh para
sahabat pergerakan Baginda dari satu rukun ke satu rukun yang lain amat
sukar sekali. Malah mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-seolah
bunyi sendi Baginda Rasulullah sedang bergesel diantara satu sama lain.
Setelah selesai sembahyang, Sayidina Umar yang tidak tahan melihat
Baginda lalu bertanya “Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan
hamba sedang menanggung penderitaan yang amat berat, adakah tuan hamba
sedang sakit?”.
Lalu baginda menjawab “tidak Umar, Alhamdulillah aku sihat dan segar”.
Umar yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut terus bertanya
“kalau tuan hamba sihat, kenapa setiap kali menggerakkan tubuh, kami
mendengar seolah-olah sendi tuan hamba sedang bergeselan”.
Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terperanjat.
Perut Baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang
mengandungi batu-batu kerikil bagi menahan rasa lapar. Batu-batu kecil
itulah yang menerbitkan bunyi setiap kali Baginda menggerakkan tubuhnya.
Para sahabat yang tadinya terperanjat terus bertanya “Ya Rasulullah,
adakah tuan hamba fikir bila menyatakan lapar dan tiada makanan, maka
kami tidak akan membawanya”.
Lalu baginda menjawab dengan lembut “tidak para sahabatku, aku tahu
apapun akan kamu korbankan dengan seorang Rasulmu, tetapi apakah yang
akan aku jawab di hadapan Allah nanti kerana aku sebagai seorang
pemimpin menjadi beban kepada umatnya”.
Baginda menambah “biarlah kelaparan ini menjadi hadiah Allah buatku agar
umatku kelak tiada yang kelaparan di dunia ini, lebih-lebih lagi di
akhirat kelak”.
Sebab itulah Baginda tidak pernah merasa malu walaupun makan di sebelah
seorang tua yang miskin, kotor dan dipenuhi dengan kudis.
Kecintaannya yang tinggi terhadap Allah dan rasa kehambaan yang sudah
sebati dalam diri baginda menolak sama sekali rasa ketuanan. Seolah-olah
anugerah kemuliaan dari Allah langsung tidak dijadikan alasan untuk
merasa lebih daripada orang lain di depan orang ramai mahupun ketika
bersendirian.
Walaupun pintu syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk Baginda tetapi
Baginda masih lagi berdiri di malam-malam sepi untuk terus beribadah
kepada Allah. Pernah Baginda terjatuh kerana kaki-kakinya bengkak oleh
sebab terlalu lama berdiri. Fizikalnya sudah tidak mampu lagi menanggung
kemahuan jiwanya yang tinggi.
Apabila ditanya oleh Sayidatina Aisyah “Ya Rasulullah, bukankah tuan
hamba telah di jamin syurga. Mengapa tuan hamba masih bersusah payah
sebegini?”.
Baginda menjawab dengan tenang “Ya Aisyah, bukankah aku ini hanyalah
seorang hamba. Sesungguhnya aku ingin menjadi seorang hambaNya yang
bersyukur.”